Isnin, 28 Oktober 2013

TERKINI : Fizo Omar dan Mawar Nikah pada 10 November ini, Tahniah




Fizo Omar dan Mawar telah mengumumkan tarikh pernikahan mereka , teka-teki mengenai tarikh pernikahan pelakon Fizo Omar   dengan  Mawar Abdul Karim iaitu anak kepada pengasas tudung jenama Fareeda terjawab apabila pasangan itu mengesahkan untuk melangsungkannya pada 10 November depan , hal ini di sah kan oleh Fizo dalam sidang media hari ini.
Pelakon dan pengacara ini yang lebih di kenali dengan Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 28, berkata, majlis akad nikah akan diadakan pada tarikh berkenaan di rumah pihak perempuan iaitu di Country Heights, Kajang Selangor.
“Majlis nikah akan diadakan pada pukul 9 pagi dan akan disiarkan secara langsung menerusi slot Nasi lemak Kopi O di TV9. Majlis bertunang pula akan diadakan sehari sebelum majlis nikah iaitu pada 9 November,” katanya yang juga pengacara rancangan Nasi Lemak Kopi O itu.
Sebelum ini Fizo ada melakukan gimik yang sangat romatis dengan melamar Mawar, 24, di panggung wayang Cathay E-curve, Damansara di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi sambil disaksikan oleh pihak media yang di jemput untuk sidang media itu. 
Tahniah buat  Fizo dan mawar semoga majlis berjalan lancar dan semoga berbahagia ke anak cucu, InsyaAllah.


VIDEO: Insiden Pergaduhan semasa perlawanan Bola sepak Pahang Vs sarawak


Video amatur ini diambil oleh sahabat Kak Bedah yang ketika itu berada di Jungle Foodcourt Indera Mahkota Kuantan.

    Difahamkan penyokong pasukan Pahang bergaduh sesama sendiri ketika menyaksikan perlawan separuh akhir kedua Piala Malaysia diantara Sarawak menentang Pahang. Motif pergaduhan masih dalam siasatan






Sabtu, 26 Oktober 2013

Sekitar Majlis Pernikahan Diana Amir Dan Habib




Pukul 9.30 malam tadi, telah selamat berlangsung majlis pernikahan pelakon Diana Amir dengan Mohd Habib Bullah A. Rahman di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3, Putrajaya. Hantaran yang diterima oleh Diana ialah senaskhah Al-Quran, sebentuk cincin dan mas kahwin bernilai RM1000.




Majlis ini bertemakan ‘crystal garden’, mendapat tajaan pakaian pengantin dan kasut daripada Ezuwan Ismail, Saiful Sin untuk dekorasi dewan, Yakult (M) Sdn Bhd dan beberapa lagi tajaan.Keduanya masih belum menetapkan tarikh majlis resepsi, namun merancang untuk mengadakannya pada tahun ini juga, serta masih belum memilih lokasi untuk berbulan madu atas faktor kesibukan masing-masing.

Mari bersama kita doakan perkahwinan mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.


Jentera berat digunakan untuk mencari mangsa banjir lumpur Di Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS: Pasukan mencari dan menyelamat hari ini menggunakan empat jentera berat bagi mengesan seorang wanita Indonesia yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam, Ringlet di sini.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superitendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, jentera berat terbabit diguna untuk mengalih dan mengorek timbunan lumpur di kawasan yang dikenal pasti oleh Unit Anjing pengesan K9 selain membersihkan lumpur di kawasan kejadian.

"Kita juga memperluaskan kawasan operasi meliputi jarak 5.7 kilometer dari tempat mangsa dihanyutkan," katanya kepada pemberita di lokasi hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya juga akan mendapatkan bantuan unit menyelam pasukan bomba dan penyelamat bagi mencari mangsa di kawasan jeram sungai serta kawasan yang dalam.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang juga pekerja kebun sayur di sini membabitkan enam pegawai dan 88 anggota daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Rela dan Angkatan Tentera Malaysia, katanya.

Dalam kejadian 1 pagi Rabu lalu, dua orang maut akibat lemas, manakala seorang lagi meninggal dunia kerana serangan jantung dalam tragedi banjir kilat yang menenggelamkan 80 kediaman itu.

Kejadian berpunca daripada limpahan air Sungai Bertam susulan pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar di hulu sungai berkenaan.

Sementara itu, Wan Mohd Zahari menafikan dakwaan segelintir penduduk bahawa pihak berkuasa lambat mengeluarkan amaran sebelum pelepasan air dari empangan.

Beliau berkata, pihaknya mengarahkan pasukan kereta peronda polis pada 11.40 malam (Selasa) untuk memberitahu setiap kediaman penduduk mengenai pelepasan air yang akan dilakukan pada 12.30 tengah malam.

"Polis turut menggunakan siren dan pembesar suara di setiap kawasan kediaman sepanjang perkampungan Lembah Bertam untuk mengarahkan penduduk berpindah," katanya.







Senarai 10 Kerjaya yang Mempunyai Pendapatan Paling Tinggi di Malaysia.




1.Pilot (RM35,000/sebulan)
2.Senior accountant (RM30,000/sebulan)
3.Materials engineer (RM28,000/sebulan)
4.Government affairs director (RM27,000/sebulan)
5.Team leader in Oil&Gas,energy or mining industry (RM26,500/sebulan)
6. Recruiting manager (RM25,500/sebulan)
7.Regional manager in banking (RM25,000/sebulan)
8.Chief Operating Officer (RM24,722/sebulan)
9.Regional director (RM24,583/sebulan)
10.Geotechnical engineer (RM22,833/sebulan)


Jumaat, 25 Oktober 2013

Najib huraikan 'pengundi Bangla' dalam Belanjawan 2014




  KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mula membentangkan Belanjawan 2014 dengan mencuit hati hadirin apabila memerinci jumlah penduduk di Malaysia.
 
Di awal ucapan Bajet itu Najib menyelar Pakatan yang menimbulkan dakwaan bahawa terdapat 40,000 warga Bangladesh mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
 
Najib berkata statistik rasmi terbaru menunjukkan Malaysia mempunyai 27.4 juta rakyat berbilang kaum.
 
"Ini tidaklah termasuk 40,000 orang Bangladesh yang didakwa oleh pembangkang, dibawa masuk sebagai pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini.
 
"Walhal, hinggalah hari ini, tiada siapapun yang pernah melihat kelibat, apatah lagi bayang mereka itu. Cukup-cukuplah pembohongan, beristighfarlah banyak-banyak," katanya.
 
Dakwaan itu dibuat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa hari sebelum PRU13.
 
Malah beliau mendakwa kerajaan menempah pesawat khas untuk menerbangkan pengundi haram daripada Sabah dan Sarawak ke Semenanjung.
 
Bagaimanapun tidak ada bukti di kemukakan. 
 
Petisyen-petisyen PKR dan Pakatan Rakyat untuk membantah keputusan PRU 13 juga tidak merujuk kepada “undi Bangla.”


Bajet 2014: Kerajaan peruntuk RM1.9 bilion bina rumah mampu milik



KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM1.9 bilion pada tahun 2013 untuk membina 123,000 rumah mampu milik di lokasi strategik seluruh negara yang dikendalikan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara.

Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi 2013/2014 yang dikeluarkan hari ini berkata, daripada jumlah itu, PR1MA menerima RM500 juta untuk membina 50,000 rumah di lokasi utama di seluruh negara dan RM300 juta lagi bagi membina 30,000 rumah dengan kerjasama pemaju perumahan swasta.

Sebanyak 320,000 rakyat bakal memiliki rumah sendiri apabila program pembinaan rumah mampu milik yang berharga antara RM100,000 hingga RM400,000 seunit itu siap pada 2016.

Menurut laporan itu, unit rumah PR1MA yang pada umumnya berharga 20 peratus lebih murah daripada pasaran sekarang, dijual melalui sistem pengundian terbuka dan dijangka siap dibina tiga tahun lagi.

Bagi mereka yang berpendapatan rendah pula, kerajaan memperuntukkan RM320 juta kepada SPNB untuk membina 22,855 unit rumah termasuk 1,855 unit apartmen kos sederhana dan 10,000 unit projek perumahan rakyat yang dijangka siap pada 2015.

Sementara itu, kerajaan memperuntukkan RM543 juta kepada Jabatan Perumahan Negara bagi melaksanakan Program Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan 20,454 unit yang dibina menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri.

Selain masalah harga pasaran rumah yang tinggi, golongan muda di negara ini turut menghadapi kesukaran menyediakan wang pendahuluan untuk membeli rumah.

Oleh itu, kerajaan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku, satu skim pembiayaan rumah yang dinikmati golongan muda berpendapatan kurang daripada RM5,000 secara individu atau pendapatan bersama sehingga RM10,000.

Sehingga Ogos 2013, 108 pemohon diluluskan oleh sistem perbankan.
 


Intisari Bajet 2014




KUALA LUMPUR: Berikut ialah intipati Bajet 2014 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat hari ini.       

Bajet 2014 bertemakan "Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji".        

Lima teras utama bajet ini ialah merancak aktiviti ekonomi, mengukuh pengurusan fiskal, menggungul modal insan, mempergiat pembangunan bandar dan luar bandar dan mensejahtera kehidupan rakyat.        

* Peruntukan RM264.2 bilion bagi melaksanakan langkah-langkah, program dan projek kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

* Belanja mengurus RM217.7 dan RM46.5 bilion belanja pembangunan.

* RM63.6 bilion diperuntukkan bagi emolumen dan RM36.6 bilion disediakan bagi perkhidmatan dan bekalan.

* Sejumlah RM29 bilion diperuntukkan untuk sektor ekonomi.

* RM10.5 bilion bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* RM3.9 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM1.1 bilion (pentadbiran am) dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

* Kutipan hasil diunjurkan RM224.1 bilion, naik RM4 bilion

* Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan berkurangan kepada 3.5 %, berbanding 4 % pada 2013.

* Kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion bagi tahun 2013 dan 2014 untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan, meliputi program promosi dan pengiklanan Tahun Melawat Malaysia 2014, dengan sasaran 28 juta pelancong.

* Tahun 2015 diisytiharkan sebgai ‘Year of Festival’.

* Kerajaan mencadangkan tempoh permohonan galakan Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan dilanjutkan selama 3 tahun sehingga 31 Dis 2016.

* Menyediakan Tabung Khas Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM2 bilion bagi membiayai projek infrstruktur pelancongan.    

* Fasa kedua projek ‘High Speed Broad Band’ (HSBB) dengan kos pelaburan RM1.8 bilion dan  kelajuan Internet mencapai 10 megabits sesaat untuk dimanfaat 2.8 juta isirumah di seluruh negara.
       
* 1,000 menara pemancar komunikasi dibina dalam tempoh 3 tahun dengan pelaburan RM1.5 bilion untuk meningkatkan liputan Internet di kawasan luar bandar.

* Kabel dasar laut yang baharu dipasang dalam tempoh 3 tahun dengan kos RM850 juta untuk tingkat capaian Internet di Sabah dan Sarawak.

* Kerajaan bercadang tingkatkan sumbangan dalam Skim Persaraan 1Malaysia daripada 5 peratus kepada 10 peratus, iaitu daripada jumlah minimum RM60 kepada RM120 setahun, berkuatkuasa 1 Jan 2014 sehingga akhir 2017.
    
* Insentif RM500 sekali bayar kepada pencarum Skim Persaraan Swasta yang mempunyai pelaburan minimum terkumpul RM1,000 dalam tempoh setahun, berkuatkuasa 1 Jan 2014 bagi tempoh 5 tahun.

* RM6 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan program pertanian mempunyai nilai tambah tinggi dan berdaya komersil.
  
* RM2.4 bilion bantuan subsidi dan insentif merangkumi subsidi baja, benih, pengeluaran padi, harga beras serta insentif hasil tangkapan nelayan.      

* Peruntukan RM243 juta bagi pelaksanaan program tanaman semula getah, kelapa sawit dan koko serta program ladang hutan.
    
* RM634 juta diperuntukkan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara bagi meningkat produktiviti serta menghasilkan produk pertanian yang mempunyai permintaan tinggi.

* Kerajaan akan melaksanakan projek ternakan udang kara di Semporna, Sabah yang dapat mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan dan membantu lebih 6,000 pengusaha tempatan.


Subsidi gula dimansuhkan mulai esok (26/10/2013)




KUALA LUMPUR: Subsidi gula sebanyak 34 sen akan dimansuhkan berkuatkuasa esok, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini.
        
Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat berkata langkah itu bertujuan mengurangkan jumlah pesakit diabetes di negara ini yang agak membimbangkan.

Harga runcit gula pada masa ini ialah RM2.50

"Berdasarkan statistik, terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes," katanya.        

Beliau berkata keadaan itu jika tidak dikawal akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung, kerosakan buah pinggang, mata buta dan kaki terpaksa dipotong.

"Saya menyeru agar kita bersama-sama jaga kesihatan, kurangkan manis dalam makanan dan minuman. Tambahkan manis dalam senyuman," katanya.


SUSULAN KES TEMBAKAN PEGAWAI AMBANK: Rakan Pengawal Nampak Suspek Bersikap Pelik Sebelum Kejadian



Seorang pengawal keselamatan yang bertugas bersebelahan bank Ambank USJ Sentral di Subang Jaya menyifatkan wajah suspek seperti bermasalah ketika mereka bertugas bersama sehari sebelum kejadian.
Menurut pengawal itu, pada hari Selasa mereka bersama-sama bertugas mengawal di sebuah lagi bank di Bank Affin,  di Taipan 10, Subang Jaya.
“Dulu semalam, saya sama dengan dia bertugas di Affin Bank di Taipan 10 dan saya ada tanya dia kenapa kerana muka dia lain macam je, tetapi dia tak nak cakap apa-apa,” katanya 
“Pada pagi itu (semalam), ada orang cuti tau.. ada orang panggil ganti dia (pengawal bercuti), saya kata dia (suspek) gantilah.. ini macam,” katanya.
Menurut pengawal itu, ketika di Affin Bank suspek dilihat bersikap pelik seperti mahu melakukan sesuatu berunsur jenayah tetapi tidak meneruskan niatnya di Affin Bank.
Sebaliknya dia  melakukan jenayah berkenaan ketiga bertugas di Ambank.
Menurutnya, suspek juga dilihat mukanya seperti sedang mengalami masalah besar.
Selain itu, seorang wanita yang bertugas di restoran bersebelahan mengakui beliau agak takut untuk hadir bekerja pada hari ini kerana restoran itu terletak terlalu dekat dengan bank berkenaan.
“Hari ini saya takut juga untuk datang kerja, pelanggan pun berkurangan dan jualan menurun hari ini,” katanya.


3 Maut, Seorang Hilang Banjir Kilat Di Cameron Highlands


CAMERON HIGHLANDS – Tiga terbunuh – dua daripadanya lemas manakala seorang lagi akibat serangan jantung – dalam kejadian banjir kilat selepas air Sungai Bertam melimpah ekoran pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar, Ringlet di sini awal hari ini.
Kejadian pada pukul 1 pagi itu turut menyebabkan seorang wanita Indonesia hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dan seorang lelaki cedera.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Mohd Zahari Wan Busu berkata arus deras dan banjir kilat itu memusnahkan kira-kira 80 rumah dan beberapa kenderaan di kawasan penempatan Lembah Bertam itu.




Dua yang mati lemas ialah lelaki Bangladesh dikenali sebagai Jahangir, 30-an, dan wanita Indonesia yang hanya dikenali sebagai Kesmat, 46. Satu mayat ditemui di dalam sebuah rumah dan satu lagi di bawah runtuhan rumah yang lain.
Lelaki yang mati akibat serangan jantung ialah Tan Tuck Choi, 51. Dia mati dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Kalsom di sini, awal pagi ini.
Mohd Zahari berkata mangsa yang masih hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dikenali sebagai Jarwati, 17, manakala lelaki yang cedera Ho Kim Way, 38, kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.
“Ho cedera ketika cuba menyelamatkan diri dalam kejadian itu,” katanya.



Kawasan yang terlibat dalam kejadian itu menempatkan rumah penduduk dan rumah setinggan berhampiran kebun sayur. Berikutan kejadian itu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Lembah Bertam ditutup hari ini.
Terdahulu Mohd Zahari berkata air empangan di Ringlet itu terpaksa dilepaskan bagi mengelak empangan itu pecah berikutan hujan lebat yang berterusan sejak 7 petang semalam.
Pelepasan air empangan pertama dibuat pada 12 tengah malam diikuti pada jam 1 pagi dan seterusnya pada 2.45 pagi yang menyebabkan air di Sungai Bertam melimpah secara mendadak dan mengakibatkan banjir kilat.
Beliau berkata berikutan kejadian itu, sebanyak 54 orang dari 12 keluarga dipindahkan ke dewan orang ramai Ringlet.
Sementara itu Timbalan Penguasa Balai Bomba Zon 3 Pahang Yusmaizi Zulkifli berkata paras air normal di empangan itu ialah 3.498 meter dan pelepasan air dilakukan ketika paras air mencecah 3.508 meter.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati cuaca panas sehingga tengah hari bagaimana hujan renyai mula turun pada sebelah petang.
Anggota Parlimen Cameron Highlands Datuk Seri G.Palanivel turut melawat kawasan kejadian dan memaklumkan bantuan akan disalurkan dalam masa terdekat. –BERNAMA